Wednesday, 29 July 2015

Sejarah Sekolah

Lencana Sekolah


Sejarah Sekolah

           Sekolah Kebangsaan Sanglang mula didirikan pada 1313 Tahun Hijrah (1910 Masihi) oleh Kerajaan Negeri Kedah dan diasaskan oleh Penghulu Mukim Sanglang iaitu Datuk Pengulu Tuan Haji Kasa. Bangunan yang berkurun 72 kaki x 24 kaki itu didirikan di Kampung Tengah, Mukim Sanglang. Bangunan ini hanya berdindingkan buluh, berlantaikan tanah dan beratapkan nipah. Murid-murid yang memulakan persekolahan di sini adalah sebanyak 120 orang terdiri daripada murid lelaki semuanya. Guru Besar pertama sekolah ini ialah En.Othman bin Haji Raof. Pada masa ini aliran sekolahnya hanya setakat darjah empat sahaja.

         Pada 1342 Tahun Hijrah (1921 Masihi), Kerajaan Negeri Kedah telah mendirikan sebuah lagi bangunan baru. Bangunan ini bertiangkan kayu bulat, berdindingkan pelupuh dan berlantaikan pasir laut. Pada masa ini jumlah murid-murid sebanyak 170 orang dan 5 orang guru. Pelajaran Agama Islam pula diajar pada sesi petang oleh dua orang guru agama.

          En.Othman bin Haji Raof bersara pada 1355 Tahun Hijrah (1934 Masihi) dan beliau digantikan oleh En.Abdullah Bin Ismail sehingga 1357 Hijrah (1936 Masihi). Kemudian beliau ditukarkan ke sekolah Kebangsaan Yan,Kedah dan tempat beliau digantikan oleh En.Ismail bin Yahya. Pada tahun ini jumlah murid bertambah kepada250 orang dan 8 orang guru dan aliran persekolahannya dinaikkan hingga ke darjah empat.

      Kerana pertambahan murid agak banyak, ketua Pegawai Pelajaran (Tuan Steil) bersetuju membina sebuah bangunan baru yang lebih elok. bangunannya bertiangkan simen, berlantaikan papan dan beratapkan genting. Juga dibina sebuah rumah untuk guru besar.

      Pada 1360 Tahun Hijrah (1939 Masihi) En.Ismail bin Yahya bertukar ke Sekolah Kebangsaan Kodiang dan beliau digantikan oleh En.Abd. rahman bin Khamis. Pada 1368 Tahun Hijrah (01.05.1949 Masihi) En.Abd. Rahman bin Khamis pula bertukar ke Sekolah Kebangsaan Yan, kedah dan beliau diganti oleh En.Din bin Mat Saman dari Langkawi, Kedah.

          Pada Tahun ini jumlah murid-murid ialah 277 orang, terdiri dari 227 murid lelaki dan 50 orang murid perempuan. Pada tahun ini juga bermulanya persekolahan bagi kanak-kanak perempuan. Pada 29.07.1955 En. Din bin mat Saman bertukar ke Sekolah Kebangsaan Kodiang dan tempat beliau di gantikan oleh En.Osman bin Awang.

      Pada Tahun 1958, Ahli Lembaga Pengurus Sekolah Kebangsaan Sanglang telah bermesyuarat untuk mendirikan sebuah lagi bangunan tambahan. Hasil daripada mesyuarat tersebut, terdirilah sebuah bangunan yang keluasannya 120 kaki x 60 kaki, hasil dari derma Ahli Lembaga Pengurus dan orang ramai. Pada tahun ini, jumlah murid-murid di sekolah ini semakin menigkat dan alirannya dinaikkan hingga ke darjah enam.

No comments:

Post a Comment